Dikir Barat
Pengenalan
Permainan Dikir Barat adalah suatu teater tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di kelantan dan Patani di selatan Thai. Secara umumnya, permainan ini lebih popular sebagai muzik rakyat. Di dalam persembahan dikir barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang tukang karut dan tok juara . Mereka akan mengarut sambil berbalas pantun dan diikuti oleh awok-awok (chorus)sebagai suara latar yang kuat dan lantang. Menurut Tan dan Matusky (1998), Dikir barat merupakan sebuah persembahan muzik instrumental dan puisi dinyanyikan.
Dikir barat boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun pertandingan. Dalam masyarakat permainan ini biasanya dimainkan selepas musim menuai padi, majlis perkahwinan, majlis perasmian dan majlis berkhatan. Di samping itu, pertandingan sering diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, jabatan-jabatan kerajaan. Dikir barat adalah permainan baru jika dibandingankan dengan teater tradisional lain.
Mengikut gaya lama, persembahan dikir barat mengutamakan tema yang melibatkan kehidupan seharian orang tempatan dengan unsur-unsur lucu. Tema masakini masih mengekalkan unsur tempatan tetapi memaparkan topik semasa mengenai ekonomi, politik, pendidikan dan perpaduan sosial. Lazimnya dikir barat yang dipersembahkan di televisyen mendidik masyarakat tentang kebajikan, kesihatan dan isu sosial. Contohnya tema kesihatan yang mengisahkan tentang bahaya nyamuk aedes, penyakit denggi atau penyakit sosial.
2.0 Watak-watak utama dalam Dikir Barat
Permainan dikir barat adalah permainan kolektif di antara Juara( Tok Juara), Tukang karut dan Awok-awok serta pemain ensemble. Mereka adalah ibarat satu badan yang saling bergantung antara satu sama lain. Jika satu anggota tidak dapat berfungsi dengan sempurna , seluruh badan tidak dapat berfungsi dengan berkesan . Tanpa kerjasama yang jitu, persembahan itu tidak akan berjaya, menurut Omar (1989).
2.1 Tukang karut adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam sesuatu persembahan. Baik atau buruk sesuatu perse bahan itu bergantung kepada tukang karutnya. Seorang tukang karut yang baik mesti mempunyai kemahiran mencipta lrik, menyusun idea spontan yang sesuai dengan tema. Kebolehan seseorang tukang karut melagukan sesuatu melodi dan tema yang tertentu akan menetapkan mereka dengan identiti yang tersendiri misalnya Seman bin mamat dapat membawakan lagu karut Wau Bulan dengan baik dan berkesan, dan dia terkenal dengan gelaran Seman Wau Bulan. Nama-nama besar tukang karut yang lain ialah Dolah Kulat malam, Awang ikan duyung. Terdapat juga tukang karut yang menggunakan gelaran berdasar tempat asal mereka seperti Pak leh Tapang, Daud Bukit Abal, Pak Mat Burma dan Ripin Belimbing. Transisi dikir barat telah menwujudkan generasi baru yang mempusakai kemahiran mengarut ini seperti Cikgu Sulizi, arwah cikgu naim, Jen Endoro, Meli Tumpok dan ramai lagi. Dalam kajian dan artikel yang ditemui, terdapat juga tukang karut wanita sekitar tahun 70an seperti Faridah Bobby, Esah sayonara, Semah Anak Tiong dan Khaltom. Generasi tukang karut wanita terkini ialah Ayu Rosalinda, Adik Wani, Rohaya dan zainun. Meraka in I sebenarnya lebih kepada ‘menyanyi’ dari menjadi tukang karut.
2.2 Tok Jora (Juara) adalah watak kedua penting dalam persembahan. Juara adalah orang yang memulakan nyanyian dalam persembahan. Juara jugalah yang menentukan tema persembahan melalui lagu awalnya. Selain itu juga juara merupakan pemimpin kumpulan . Di antara juara yang terkenal adalah Yusof kelong dan Salleh Jambu. Pada waktu yang tertentu, juara juga terpaksa mengarut swaktu menunggu ketibaan tukang karut.
2.3 Awok-awok adalah sekumpulan orang yang berdikir dalam permainan dikir barat. Kebiasaannya awok-awok terdiri dari pemuda-pemuda belasan tahun dan kerana faktor usia inilah mereka digelar ‘ budok-budok dikir’. Secara praktikalnya orang dewasa juga tergolong sebagai awok-awok dewasa ini. Gelaran awok-awok ini adalah sempena nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam sebuah bot yang diketuai oleh seorang juragan. Tugas awok-awok ini ialah mengikut atau mengulangi lagu secara beramai-ramai disambil bertepuk tangan. Dalam seni muzik barat suara awok-awok ini dikenali sebagai ‘ korus’. Dalam kumpulan dikir barat, bilangan awok-awok terhad bilangannya iaitu 12 hingga 40 orang. Ini bergantung kepada suasana persembahan. Awok-awok tidak boleh diambil sembarangan, mereka yang tidak cekap dan kurang berpengalaman akan memberikan kesan yang negatif kepada kumpulan.
2.4 Pemuzik adalah mereka yang telah berpengalaman dan dapat menguasai lagu dan alat muzik mereka dengan baik.
Cara persembahan
Dalam persembahan dikir barat ensembel instrumental memperkenalkan sesuatu lagu dengan memainkan dan mengulangi rentak yang pendek dan rancak serta tepukan tangan oleh anggota-anggota korus. Tok juara terus mula menyanyi pantun serta baris melodi tertentu dengan irama yang tidak bermeter dan tempo yang perlahan. Baris melodi vokal ini berbunga sederhana sahaja . Tok Juara menyanyi secara tanpa iringan.
Pada penghujung baris melodi dan pantun itu, awok-awok meneruskan persembahan dengan mengulangi teks pantun yang telah dinyanyikan oleh Tok Juara, tetapi kali ini nyanyian korus diiringi dengan alat muzik dan tepukan tangan serta gerak-geri lengan, tangan dan badan. Nyanyian dan gerak-geri korus dikendalikan secara unison. Korus dan Tok Juara biasanya berselang-seli menyanyikan senikata pantun rangkap demi rangkap. Bentuk strofik digunakan. Melodi tidak berubah walaupun senikata baru dinyanyikan pada setiap rangkap.
Selepas pantun yang akhir dihabiskan oleh korus, seorang tukang karut berdiri di atas pentas dan menyambut semua orang yang menghadiri persembahan. Tukang karut ini mencipta senikata yang berbentuk pantun secara spontan. Pantunnya menengahkan tema tempatan tertentu atau berasaskan tema pantun Tok Juara tadi. Nyanyian tukang karut diikuti oleh nyanyian awok-awok mengikut melodi dan gaya nyanyian yang digunakan oleh tukang karut. Pada waktu itu tempo beransur-ansur menjadi rancak.
Dalam persembahan dikir barat, tumpuan diberikan pada senikata yang terang dan melodi yang tidak kompleks. Ini adalah supaya lagu-lagu mudah difahami dan dapat menarik minat penonton.
Tukang Karut memerlukan kepetahan yang tinggi.
Terdapat juga Tukang Karut wanita tetapi lebih menjurus kepada nyanyian bukan mengarut.
Ensemble Muzik Dikir barat
Pada zaman dahulu ensemble asas mengandungi dua buah rebana dan sebuah gong besar yang dinamakan tetawak. Masakini ensemble ini menambahkan pelbagai alat muzik termasuk alat muzik barat.
Alat muzik asas yang masih digunakan ialah dua alat muzik rebana mengikut saiz yang dipanggil rebana ‘ibu’ dan rebana ‘anak’. Kedua genre ‘membranofon’ mengikut Van Bostel (1994), diletakkan menegak dan kulitnya dipukul dengan kedua-dua belah tangan pemain. Timbre asas yang dihasilkan oleh pemain rebana ialah ‘tak’ dan ‘dung’. Alat rebana ibu dan anak menghasilkan rentak tertentu. Pemain rebana ibu memainkan rentak utama sementara pemain rebana anak memainkan rentak yang ‘meningkah’ rentak rebana ibu.
Alat ‘idiofon’yang digunakan dalam ensemble ialah ‘tetawak’ . Tetawak merupakan gong besar yang berbusut (knobbed gong). Gong ini digantung dan pukul pada busut dengan pemukul yang berbalut dengan getah. Tetawak dimainkan pada setiap bit yang ke 4.
Canang iaitu alat gong-chime, terdiri daripada dua buah gong kecil yang berbusut. Gong ini digantung dan dipukul dengan sepasang kayu yang berbalut getah.
Marakas ialah yang dipinjam daripada muzik popular barat. Alat idiofon ini terdiri dari sebuah labu yang berisi kekacang yang akan menghasilkan bunyi apabila alat itu digoncangkan . Biasanya sepasang marakas dimainkan oleh seorang pemain. Canang dan marakas menghasilkan bit berterusan.
Subjek Kajian Video Lagu Ewau Bulan Oleh Arwah Cikgu Naim
Saya telah memilih video dikir barat yang bertajuk “ Wau Bulan” nyanyian arwah Cikgu Naim, seorang tukang karut yang terkenal. Arwah merupakan seorang guru lepasan universiti yang merupakan salah seorang generasi muda yang berpendidikan tinggi yang sanggup meneruskan warisan budaya yang hampir dilupakan generasi kini. Dengan penglibatan beliau dalam dikir barat bersama dengan rakan seperjuangan seperti Cikgu Sulizi dan Halim Yazid, telah mengangkat seni dikir barat ke tempat yang lebih tinggi dengan genre dan lirik-lirik lagu yang lebih bermutu dan mempunyai unsur-unsur pendidikan.
Cara Persembahan
Lagu Wau Bulan dikategorikan sebagai lagu karut , Tukang Karut akan menyanyikan intro lagu secara ‘free tempo” bersama “ adlib”. Dalam vidoe kajian, tukang karut menyanyikan intro E-wau Bule…., e-wau bule…., e-wau bule teraju tiga…, ini male samo samo….samo-samo bersuka ria, ini male samo-samo…samo-samo bersukaria… dan disambut oleh awok bersama tepukan dan juga muzik. Awok-awok duduk dalam bulatan bersama pemuzik. Cara kedudukan menunjukan kesatuan dan keharmonian dalam menjalankan peranan masing-masing.
Lagu ini biasanya sering digunakan sebagai lagu penutup dalam seseuatu persembahan.
Instrumentasi dan Fungsi Ensemble
Dalam video ini, instrument atau ensemble yang digunakan ialah:
a) Gendang Anak : Berperanan memainkan rentak dikir barat dan saling bertingkah dengan gendang ibu.
b) Gendang Ibu : Berperanan memainkan rentak dikir barat dan saling bertingkah dengan gendang anak. Gendang ibu selaku alat muzik utama dan selalu melakukan ‘ adlib’.
c) Gong : Sebagai penanda masa
d) Canang : Memberikan warna kepada rentak dikir barat, memainkan bit yang berterusan.
e) Marakas: Menambahkan warna kepada rentak dikir barat, memainkan bit berterusan dan juga boleh dimainkan untuk nilai not yang panjan atau penghujung lagu.
Melodi / Skel
Lagu yang dinyanyikan dalam video ini adalah dalam Skel Major. Pergerakan kodnya ialah I,IV,I,I,VI dan I. Kadennya adalah Kaden Sempurna ( Perfect Cadence).
Rajah 3 : Keratan dari Lagu Wau Bule
Lirik dan Harmoni
Free Tempo( Jora)
Wau….a..a…bule….e….e
Wau bule teraju tigo…..
Dengan tempo (korus)
Ala ewa…ewa bule (kod I,IV,I)
Ewa bule teraju tigo (kod I VI,I)
(Jora)
O…nak minta sambuk Sale kasih sale saye (kod I)
Para peminat kecik besa tua muda (kod I,VI,I)
(korus)
Ala ewa…ewa bule
Ewa bule teraju tigo
(jora)
Saloh silak ore dikir ini male
Nak mitok nga cek jange sipe dale ati
(korus)
Ala ewa…ewa bule
Ewa bule teraju tigo
(Jora)
A…a..ada jodoh serta sekali temue panjang
Di lain masa lain saat jupo pulok
(korus)
Ala ewa…ewa bule
Ewa bule teraju tigo
(Jora)
O…selamak tinggal ambo ucak selamak jale
Masing-masing kita menuju rumah tanggo
(korus)
Ala ewa…ewa bule
Ewa bule teraju tigo
(Jora)
Takdok guno dah ambo bile panje
Semak tingga penghabise doh la ambo
(korus)
Ala ewa…ewa bule
Ewa bule teraju tigo
Irama
Dalam topic irama mengandungi elemen seperti detik, tekanan dan meter. Bagi lagu Wau Bule detiknya adalah jenis empatan. Tekanan diberikan pada detik pertama yang dimainkan dengan tepukan awok-awok dan gong sebagai penanda masa. Dari segi meter pula, pada lazimnya lagu dikir barat adalah bermeter empatan ( 4 detik dalam satu bar). Tempo lagu ini adalah sederhana (andante). Kadang kala penyanyi dikir barat tidak mengikut tempo yang tepat kerana repertoire dikir barat tidak terikat dengan system muzikal.
Bentuk/form
Bentuk lagu Wau Bule adalah dalam bentuk ABA
Wau….a..a…bule….e….e ( A )
Wau bule teraju tigo…..
O…selamak tinggal ambo ucak selamak jale ( B )
Masing-masing kita menuju rumah tanggo
Wau….a..a…bule….e….e ( A )
Wau bule teraju tigo…..
Penutup
Lagu Wau Bulan boleh dikatakan sebagai repertoire utama dalam seksyen penutup dalam sesuatu persembahan dikir barat. Saya telah cuba mengkaji dan menganalisa video lagu ini sedaya upaya . Begitulah perkembangan dikir barat yang sangat perlu dipelihara dan dipusakai oleh generasi masakini. Transisi yang dilalui oleh Dikir barat bukan berfungsi sebagai hiburan tetapi juga mampu menyampaikan maklumat , amanat kerajaan, pengiklanan dengan berkesan.
Friday, March 5, 2010
DIKIR BARAT
Posted by MARIO at 6:33 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment